RSS

Monday, August 1, 2011

Saya Tidak Faham Awak...

         ~ ENTRI YANG SUDAH LAMA TERSIMPAN DIKOTAK INGATAN~

 Saya tidak faham awak! Acap kali saya mendengar ayat ini daripada orang lain. Lazimnya jika ayat ini dilontar kepada saya, saya akan lontarkan semula kata balas "saya pun tak minta awak fahami saya", walaupun di dalam hati amat mengharapkan sekiranya dia memahami diri ini. Bukan mudah untuk kita memahami seseorang, dan tidak mudah juga untuk kita membuat orang lain memahami kita.

 'Putih' di mata kita, 'hitam' di mata orang lain. 'Bulat' kata kita, mungkin juga persegi pada tafsiran orang lain. Mengharapkan orang lain memahami kita sepenuhnya boleh menjadi satu hasrat yang sukar untuk dicapai. Kita tidak boleh memaksanya, mengajarnya atau mengubah seseorang mengikut cara kita. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh sekali pun untuk membuat dia memahami kita namun dia tidak pernah mahu menerimanya, kita tidak akan dapat membuat individu itu memahami kita.

 Adakalanya hal ini berlaku juga disebabkan sikap kita sendiri. Kita mengharapkan orang lain memahami kita, namun kita tidak pernah memberi peluang untuk dia cuba memahaminya. Kita sembunyikan rasa sebenar, pendapat dan fikiran yang kita harapkan sehingga akhirnya orang itu kabur dengan apa yang kita mahukan darinya.

 Di dalam kehidupan atau apa saja jenis hubungan sekali pun perlu ada 'beri dan menerima', dan begitu juga dengan sikap saling memahami. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain saja yang memahami kita, sedangkan kita tidak pernah cuba untuk memahami mereka. Kita tidak boleh memandang sesuatu itu hanya dari kaca mata kita sendiri kerana orang lain mungkin mempunyai pandangan yang lebih baik atau buruk dari kita.

         Fahami hati dan fikiran orang lain sebelum kita meminta mereka memahami kita.

 Kata-kata yang kita tuturkan mungkin 'lembut' di pemahaman kita dan pendengaran kita, namun bagi mereka yang mempunyai latar belakang dan pengalaman berbeza akan terasa ia amat kasar dan mengguris hati. Sekiranya kita menemui seseorang yang benar-benar dapat memahami kita ianya satu kelebihan. Namun akan timbul pula persoalan, sejauh mana kita memahami dia?

 Itulah yang selalu saya fikirkan, yang membuatkan saya sedar bahawa kita perlu saling memahami dan menerima seseorang itu seadanya dia. Paling penting kita mahu mencuba untuk memahami dan memberi peluang orang lain memahami kita. Barulah adil dan seimbang.

 Makanya, tiada lagi istilah 'saya tidak faham awak'. Sebaliknya 'saya cuba memahami sedikit tentang awak dan membuatkan awak fahami sedikit tentang saya'. Biar sedikit dari tidak ada!

Wasalam.....

No comments: