RSS

Wednesday, August 17, 2011

8 Tanda Manusia Keras Hati..

Assalamualaikum..
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana masih mengurniakan rezeki kepada saya. Rezeki dari segi masa dan ilham, untuk saya mencoretkan sesuatu dlm ruangan ini. Sebenarnya lebih kepada ingin berkongsi ilmu pengetahuan yang saya perolehi melalui tazkirah-tazkirah yang diadakan ditempat kerja saya.

Sepanjang 2minggu berpuasa, pelbagai tazkirah yang telah saya dengar dan cuba untuk mengambil iktibar dari setiapnya. Dalam pada itu, ada satu tajuk tazkirah yang menarik minat saya, untuk saya kongsikan dengan anda semua. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Rizam, yang bertajuk "8 Tanda Manusia Keras Hati".

Mengikut kata Ustaz Rizam, banyak tanda-tanda manusia keras hati yang diceritakan didalam Al-Quran. Memandangkan jangka waktu yang singkat, maka ustaz cuma mengambil 8 tanda-tanda itu sahaja. Semoga apa yang ingin saya kongsikan ini, mendatangkan manfaat kepada kita semua.
Manusia yang berhati keras :

1. TIDAK TERDORONG KEARAH KEBAIKAN :- tidak pernah terlintas dihati dan fikiran untuk melakukan kebaikan. Adakalanya, melakukan maksiat, kemungkaran, dirasakan seronok malah menjadi tabiat manusia yang keras hati.


2. JAHIL DENGAN HUKUM AGAMA :- apabila jahil dengan hukum agama, maka manusia itu tidak akan mendapat kebenaran tentang sesuatu perkara. Apa yang betul apa yang salah. Maka sebab itu, Allah mengurniakan Ramadhan kepada manusia, sebagai medium untuk manusia melembutkan hati mereka. Ini kerana sewaktu Ramadhan manusia meninggalkan perkara-perkara maksiat, menahan segala bentuk nafsu dan lebih menumpukan kepada ibadat.

3. TIDAK SERONOK BERBUAT IBADAT :- apabila diajak melakukan ibadat, manusia ini merasa begitu beban, berat dan sukar untuk melakukannya. Adakalanya,, memberi begitu banyak alasan untuk mengelakkan diri dari diajak berbuat ibadat.

4. BANYAK BERCAKAP TENTANG DUNIA :- terlalu mengejar dunia sehingga adakalanya manusia masih lagi mampu untuk bercerita hal-hal duniawi sewaktu dirumah Allah. Sedangkan diketahui bahawa, adalah berdosa sekiranya kita membicarakan hal dunia semasa didalam masjid.

5. BERKIRA DALAM MEMBUAT KEBAJIKAN :- manusia begini jika membuat ibadah atau kebajikan, sekadar cukup syarat. Dengan kata lain, sekadar ada. Beranggapan bahawa kebajikan yang sedikit itu sudah memadai, manusia ini akan melakukan ibadah sekadar ada sahaja. Sedangkan Islam menuntut umatnya untuk melakukan kebajikan dan ibadat sebanyak mungkin.

6. BANYAK MAKAN, MINUM DAN TIDUR :- banyak makan, hati keras. Banyak minum, hati keras. Banyak tidur, hati keras. Dunia jika dibawa ke hukum Islam, memang seronok. Tidur sewaktu majlis ilmu, memang sedap. 5 minit dirasakan seolah 5 jam!

7. TIDAK MAMPU MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH :-  walaupun melakukan solat taubat, tahajjud,berdoa mengharapkan diampun dosa, tetapi manusia ini tidak mampu untuk mengalirkan air mata. Seolah-olah dia berpura-pura memohon keampunan dari Allah. Seharusnya, sebagai manusia yang terlalu banyak melakukan dosa,apabila memohon keampunan, letakkan diri serendah yang mungkin, sehina yang mungkin. Menangis sebagai tanda menyesali kesilapan yang dibuat, disamping berharap agar diampunkan dosa dan tidak melakukan dosa itu lagi.

8. BANYAK MELAKUKAN DOSA :- mana mungkin manusia berhati lembut, berjiwa mukmin jika banyak melakukan dosa. Dosa adalah punca hati menjadi keras. Pengubatnya, banyakkan melakukan ibadah. Wajib dan sunat, bersedekah, berjihad, berdakwah. Insyaallah, kita tidak tergolong dalam kumpulan mereka yang berhati keras..

Amin..

No comments: