Bicara seorang teman :
Kalaulah kita diberi keistimewaan, dapat melihat sama ada seseorang itu jujur atau tidak. Kan mudah. Kita dapat tahu, siapa yang jujur dan siapa yang tidak. Apakah dia berkawan dengan jujur, atau mempunyai niat tersembunyi pada kita?
Bicara, atau lebih tepat, luahan insan yang saya panggil TEMAN. Luahan yang diutarakan kepada saya, diawal hari, luahan yang mana hingga ke malam hari, saya masih tercari-cari suatu penjelasan yang tepat untuk saya terangkan agar dapat merungkai persoalan di minda TEMAN ini.
"Sebenarnya kita sudah lama diberi keistimewaan untuk melihat seseorang itu jujur atau tidak. Cumanya, keistimewaan itu tidak di anugerahkan secara langsung. Tetapi dikurnia, sepanjang perjalanan hidup kita. "
Itulah penjelasan spontan, yang dapat saya beri kepada TEMAN. Bagi saya, kejujuran seseorang itu dapat kita nilai sepanjang kita menjalinkan hubungan dengan seseorang itu. Tidak kiralah apa bentuk hubungan itu, kejujuran itu akan dapat kita ketahui apabila semakin lama kita mengenali seseorang itu.
Jujur atau tidak; Satu persoalan yang subjektif, persoalan yang tiada jawapan yang tepat, tiada garis panduan atau ciri-ciri yang boleh disenaraikan dan tiada contoh yang sangat tepat untuk diperkatakan jika ditanya mengenainya. Adakah dengan sentiasa berkata baik, berterus terang, bersikap baik dan sentiasa menjaga hati, dikatakan jujur? Patutkah seseorang itu dilabelkan sebagai tidak jujur, jika dia berbohong, sedangkan berbohong itu dapat mengelakkan keadaan menjadi tegang?
Tentunya jawapan yang diterima, berbeza mengikut pandangan masing-masing. Setiap orang berhak mendefinisikan jujur itu mengikut citarasa sendiri. Sangat payah untuk kita meletakkan nilai jujur itu pada seseorang. Jika tidak jujur, saya yakin tentu ada 1001 alasan kukuh mengapa dia bersikap demikian. Penting untuk kita mengambil kira, supaya tidak tersilap membuat penilaian terhadap seseorang.
Jujur atau tidak seseorang itu, bagi saya tidak penting. Apa yang lebih penting, diri kita, kejujuran kita. Biarpun kita tahu dia tidak jujur pada kita, biarlah. Biarkan dia. Tidak usah kita gusar, memenatkan fikiran dan menyesakkan akal untuk mencari sebab mengapa dia begitu. Sungguhpun kadang-kala sikap dia itu menyinggung hati kita, mengambil kesempatan atas kita, saya yakin : what goes around, comes around. Sekurang-kurangnya, ia menjadi pengalaman dan pengajaran pada kira, mematangkan kita dan menjadikan kita supaya lebih mahir untuk menilai kejujuran seseorang
Dan untuk TEMAN :
Saya akui saya bukanlah teman yang baik untuk kamu. Tidak sentiasa bersikap jujur kepada kamu, tidak selalu telus dihadapan kamu, dan ada kalanya tidak berkata benar kepada kamu. Tetapi saya mahu kamu tahu, kerana kasihkan kamu, demi menjaga persahabatan kita dan untuk mengelakkan timbulnya sebarang masalah, saya bersikap sedemikian. Maafkan segala ketidakjujuran saya, TEMAN. Untuk kamu, sehabis daya akan saya usahakan agar sentiasa berlaku jujur terhadap kamu...
Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment