Assalamualaikum.
Umum mengetahui, 16 Mei setiap tahun, adalah 1 hari istimewa bagi warga pendidik. Hari Guru - memang telah lama dirai, seantero dunia meraikannya. Hari dimana, setiap dari kita, menzahirkan rasa terima kasih kepada guru yang telah banyak memberi ilmu kepada kita. Sebenarnya, rasa terima kasih ini boleh diungkapkan pada bila-bila masa saja. Cuma, 16 Mei ni, sekadar nak jadikan 1hari yang istimewa, untuk para guru.
Jika 13 tahun dulu (lebih kurang la), saya yang akan ucapkan "Selamat Hari Guru, cikgu" kepada semua cikgu-cikgu saya. Tetapi sekarang, ayat itu yang diucapkan kepada saya :). Jika dulu, saya dan teman-teman akan menjadi orang penting, yang akan sibuk mengatur majlis sambutan, tapi kali ini ( kali ke-4 ) saya hanya sekadar menjadi 'tetamu' dan diraikan dalam majlis ini. Jika suatu masa dulu, saya dan kawan-kawan yang mengadakan persembahan, tapi kali ini saya sekadar menjadi penonton, bagi semua persembahan yang pelajar adakan.. :)
Menjadi orang yang diraikan, membuatkan saya terkenang semula kenangan semasa saya masih bergelar pelajar. Saya akui saya bukanlah pelajar yang baik, juga bukan pelajar yang bermasalah. Cukup sekadar saya katakan saya adalah seorang pelajar yang agak nakal. Sering buat cikgu-cikgu saya pening kepala, tak senang duduk, dan tak jemu untuk bagi nasihat. Walaupun begitu, pelajaran masih tetap saya dahulukan.
Guru umpama laman sesawang (ayat GPK Koku saya ). Itu yang boleh saya katakan, jika ditanya peranan seorang guru. Kalau dulu rata-rata akan katakan - Guru umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain. Tapi itu dulu, waktu bekalan elektrik tak sampai ke rumah. Sekarang, semua rumah dah ada lampu. Jadi lilin dah tak berapa sesuai. Hehehehe.... Zaman sekarang zaman teknologi dihujung jari. Segala infomasi yang kita nak tahu, boleh dapat hanya dengan duduk depan komputer. Buka saja google, carilah apa saja, semua ada.
Guru juga macam tu lah. Macam Google. Kira-kira 'live google'. Tanya apa saja pada guru, insyaAllah..sedaya guru akan beri jawapan bagi setiap persoalan. Malah sebenarnya guru ini lebih hebat dari 'broadcast Google'. Bukan saja persoalan dalam pelajaran, mengenai kehidupan, berkongsi pengalaman, perkara melibatkan perasaan pun kita boleh perolehi jawapan dari guru.
Tanpa kita sedari, sebenarnya guru bukan hanya sekadar insan yang memberi ilmu kepada kita. Guru, cikgu kita, kaunselor kita, 'ibubapa' kita, kawan kita, dan kadang-kadang 'musuh' kita ( tu bagi yang tak reti nak hargai cikgu ye ). Cikgu kita : mengajar dan memberi ilmu agar kita menjadi insan yang berguna. Kaunselor kita : sering memberi nasihat 'percuma', menegur dan tak jemu untuk memperbaiki kesilapan agar kita tidak hanyut. Ibubapa kita : kadang-kadang, cikgu tempat kita meluahkan masalah, tak kira apa jua masalah walaupun melibatkan hal peribadi. Kawan kita : tak salah untuk kita bergurau senda dengan cikgu, asalkan tahu batasannya. Musuh kita : itu saya tak mahu komen..
Besar jasa seorang guru. Sampai mati pun, saya rasa kita tak kan dapat membalas semua jasa cikgu-cikgu kita ni. Bukan wang ringgit yang mereka harapkan dari kita, bukan harta limpahan, juga bukan hadiah yang berjenama untuk kita balas jasa mereka. Cukup sekadar menghargai mereka, menghormati mereka dan memanfaatkan segala ilmu mereka, dah mampu buat mereka bangga dengan kita, buat mereka rasa berbaloi-baloi penat lelah mereka.
Untuk cikgu-cikgu saya, SK Karak ( 1990 - 1995 ) dan SMK Karak ( 1996 - 2000 ), terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kerana tak jemu mendidik saya, memberi ilmu kepada saya, hingga saya menjadi apa yang saya jadi sekarang ini. Semoga segala jasa baik cikgu-cikgu, dibalas pahala oleh-Nya. Dan tak lupa, untuk semua yang bergelar cikgu, semoga kita terus diberi kekuatan untuk mendidik anak bangsa kita..
Wasalam....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment